12 October 2011
Yang Namanya Cinta Harus Bahagia (i)
Awan mendung yang seakan hujan bakal turun menimpa bumi. Menampar diri ke ingatan sisi masa gelap lalu. Burung-burung beterbangan mencari tempat berteduh. Dinginnya suasana sampai meresap ke tubuh. Tulang-temulang seakan mahu rapuh kerna terlalu sejuk, hati membeku. Melihat indahnya dunia betapa nikmatnya dunia tuhan berikan. Lalu hati perempuan itu membisik, 'Kalau dunia bisa diputarkan, aku pinta tuhan kembalikan dunia aku yang pernah jadi paling terindah dulu. Aku masih ingat, dulu aku tersangat bahagia. Kalau dulu lelaki itu yang selalu ada di pelukan aku, tidak kira bagaimanapun keadaan aku, aku tetap senyum. Tapi itu mustahil, semua itu hanya sejarah buat aku. Semua telah berakhir. '
Perempuan yang tetap teguh berdiri walaupun memiliki hati yang telah sekian lama bengkok. Perempuan yang tetap sabar dengan semua ujian hidup. Perempuan yang tetap melakar senyuman di wajah walaupun mempunyai seribu luka dihati yang belum terubat kerna belum ada penawarnya. Hatinya membisik lagi, 'Kalau dulu lelaki itu pernah menemani hati aku yang sunyi, menemani tidur malamku, tapi sekarang bukan lagi. Lelaki itu juga pernah memberi warna dalam hidup aku. Tapi bukan untuk detik ini lagi. Bukan bukan.'
Kalau dulu lelaki itu pernah menjaga perempuan itu untuk sekian lama. Segala janji manis dia terpahat dihati perempuan itu. Setiap detik yang berlalu, kata-kata janji manis itu tidak pernah dilupakan. Masih ingat pertama kali kenal, lelaki itu mencari seribu cara untuk memiliki hati perempuan itu. Walau susah, dia tetap berusaha. Lelaki itu menabur biji-biji kasih sayang membuat perempuan itu melayang. Pada akhirnya, hati mereka berdua saling bergabung. Lelaki itu mengikat janji manis kepada perempuan itu, ' Hai si penyeri hidupku, tolong jadikan dunia yang terindah buat aku. Aku mahu kau tahu, cuma kamu perempuan yang bisa miliki hati aku dan aku harap kamu adalah yang terakhir buat aku. Tolong jaga pandangan kamu hanya buat aku tanpa sesaat pun melihat pria lain. Tanpa kamu, aku akan berhenti bernafas. Cinta aku buat kamu takkan pernah terhapus kecuali ajal yang memisahkan kita. Tolong pegang segala janji-janji aku. '
Untuk berpuluh ratus hari mereka tetap bersama. Cinta mereka masih lagi mekar ibarat kuntuman bunga yang baru berputik di mentari pagi. Semua gelak tawa pahit manis mereka kongsi bersama. Mereka melangkah ke arah yang sama. Tiba satu ketika, banyak situasi sudah berubah antara mereka. Tingkah laku lelaki itu menimbulkan seribu persoalan di fikiran perempuan itu. Lelaki itu bukan seperti di awal perkenalan dulu. Satu detik, tibalah ulang tahun lelaki itu. Perempuan itu merencanakan sesuatu untuk lelaki itu. Dia membuat satu kejutan besar untuk lelaki itu sampaikan lelaki itu tidak tahu bagaimana cara untuk berterima kasih untuk perempuan itu. Malangnya, pada hari ulang tahun lelaki itu, lelaki itu memberitahu perempuan tersebut, ' Sayang, maafkan aku. Aku tidak boleh lama, aku harus pulang cepat. Sebab ada urusan yang lebih penting perlu aku uruskan. Aku harap kamu bisa mengerti. Terima kasih untuk semua benda yang sudah kamu lakukan, aku hargai. ' Lantas perempuan itu menyapa, 'Aku faham. Kamu hadir, itu sudah cukup buat aku. Aku lakukan ini kerna aku mahu kukuhkan bukti yang aku benar-benar cinta sama kamu. Percayalah yang aku tidak pernah berdusta, yang hati aku tidak pernah buta, cuma kamu yang terbaik. Sebelum kamu pulang, ambillah hadiah ini untuk kamu simpan. Jaga ia, ikhlas aku berikan hanya untuk kamu. '
Matahari mula terbenam. Tiba sudah malam yang begitu dingin mendengar sayu angin yang bertiup kencang diluar sana. Perempuan itu menjengah keluar tingkap untuk melihat keadaan cuaca diluar. Lebatnya hujan membanjiri bumi, kuatnya bunyi guruh seperti ada sesuatu buruk yang bakal terjadi. Tiba-tiba terdengar bunyi satu pesanan mesej lantas perempuan itu melihat di paparan skrin. Mesej daripada kawan kekasihnya itu, ' Seronok sambut ulang tahun kekasih ? Untunglah ada teman wanita yang sanggup buat apa saja macam kamu. Aku mesej kamu ni hanya ingin tinggalkan satu pesan. Aku bukan nak mereka cerita atau nak rosakkan hubungan kamu berdua, tapi aku hanya ingin sampaikan apa yang aku lihat biar kamu tidak terus ditipu. Biar kamu tidak terus didustai. Bukalah mata kamu, kekasihmu itu telah mencurangi kamu. Dia telah bersama dengan perempuan lain, aku lihat dia lagi seronok berpegangan tangan. Kamu beranikan diri kamu, jangan terus percaya dengan kata aku, kamu siasat dulu biar jelas semuanya. Kamu suruh dia berkata jujur. Tolong ambil kisah apa yang aku sampaikan kerna aku tak mahu kamu kecewa nanti. '
Terdengar bunyi telefon jatuh ke lantai. Berkecai semuanya seperti mana hati perempuan itu hancur, remuk. Airmata membasahi pipi tika itu. Rasa seperti mimpi. Sampai saat itu, satu panggilan pun tiada dari lelaki itu. Kalau dulu, hati selalu rindu, lelaki itu sering menelefon perempuan itu. Kini tiada lagi, telefon tidak lagi berdering seperti biasa. Dia sendiri tidak tahu untuk membuat keputusan yang mana benar dan yang mana tidak. Dia perempuan yang kuat, tabah hadapi ini. Dia tekad untuk menanyakan hal itu kepada lelaki itu lalu menghantar pesanan mesej kepadanya, ' Kamu masih perlu aku ? Kamu masih sayang aku ? Kamu sudah ada perempuan lain selain daripada aku ? Benar semua apa yang dibilang kawan kamu ? ' Dengan mudahnya lelaki itu balas, ' Ya, memang benar. Maafkan aku, aku memang sedang memiliki perempuan lain sekarang ini, sejak empat bulan yang lalu. Tapi yang pasti aku masih perlukan kamu. Aku masih sayang kamu. '
Dengan hati yang seolah-olah terbelah dua, perempuan itu meraung kesedihan lalu membalas mesej lelaki itu. ' Tegar kamu lakukan ini pada aku ? Kamu sudah lupa semua janji-janji kamu ? Kamu masih ingat sepurnama dulu aku pesan pada kamu, " Sayang, jangan khianati cinta kita. Tolong selalu setia disamping aku. Aku mahu kamu boleh jaga aku buat selamanya. Bina mahligai yang bahgia. Tolong kuncikan aku dihati kamu untuk selamanya. " Kata-kata itu masih kamu simpan ? Selama ini siapa aku dihati kamu ? Atas kerna apa kamu mendustai aku ? Apa belum cukup apa yang aku korbankan buat kamu ? Apa aku belum setia, belum cukup sempurna untuk kamu ? Aku masih pegang janji kamu tapi kenapa kamu tidak bisa pegang janji aku ? Kalau kau masih perlu, kenapa mesti bermain cinta dengan perempuan lain ? Apa kamu fikir aku seperti boneka ? Lelaki itu membalas lagi, ' Aku tidak pernah lupa akan semua janji-janji kita. Aku tahu ini satu kesilapan besar yang pernah aku buat. Tolong faham situasi aku, aku belum cukup matang untuk hal-hal ini, oleh kerna itu hal-hal sebegini boleh terjadi. Kalau kau tidak boleh terima silap aku, kau lupakan aku dan tinggalkan aku. Kalau kau masih mahu bersama aku, tolong berikan aku peluang. '
Dengan pantas perempuan itu berkata, ' Hati aku sakit tiada siapa yang nampak. Aku sedang parah. Bukan mudah untuk aku terima salah kamu dan bukan mudah juga untuk aku kehilangan kamu. Bukan senang aku nak buang rasa cinta ini. Aku tak rela untuk tanggung derita jika tidak bisa hidup bersama kamu. Kalau kamu lebih perlukan aku, lebih sayangkan aku, kamu tinggalkan semuanya hanya untuk aku kalau kamu sanggup. Kalau kamu tidak sanggup, aku akan melangkah pergi demi melihat kamu bahagia.' Lelaki itu berkata lagi, ' Terima kasih kerna terima akan silapnya aku. Berikan aku masa, aku janji aku akan tinggalkan semuanya demi kamu. Aku janji aku takkan kecewakan kamu lagi. '
Dan untuk hari-hari seterusnya, mereka masih lagi bersama. Tapi keadaan tidak pernah sama seperti di awal perkenalan. Banyak duka daripada suka. Tiap detik perempuan itu ditemani airmata yang menghias pipi bukan lagi senyum tawa. Lelaki itu tidak mampu lagi membahagiakannya lagi. Peritnya rasa seperti hati yang dicincang-cincang. Ada satu ketika, perempuan itu ternampak lelaki itu sedang bermadu asmara dengan seorang perempuan lain di suatu tempat ketika dia sedang menuju ke suatu tempat. Alangkah terkejut dia saat itu membuat diri menjadi kaku. Beku semuanya seolah-olah ada sesuatu yang merasuk ke jiwa. Seperti duri yang mencucuk hati. Bercucuran airmata yang keluar. Tanpa berfikir, perempuan itu secepatnya berhadapan lelaki itu lantas lelaki itu begitu terkejut melihat perempuan itu muncul dihadapannya. Lidah menjadi kelu tidak boleh berkata apa-apa. Cuma sebaris ayat yang terkeluar daripada lelaki itu, ' Apa kamu sedang buat di sini ? Kamu kelihatan seperti lagi sedih ? Kenalkan ini kekasih saya. ' Tanpa berkata apa-apa, perempuan itu lalu melangkah pergi membawa hati yang lara. Hati yang suci mencintai lelaki itu terbang tinggi membawa seribu luka. Hati perempuan itu membisik sendirian, ' Perkara ini yang buat aku betul-betul kecewa. Aku merasakan separuh mati. Hebat sungguh dugaan yang kau berikan tuhan. Apa aku mencintai lelaki yang salah ? Apa selama ini aku hanya diperbodohkan ? '
Perempuan itu betul-betul merasakan dirinya berada di tahap yang paling bawah. Kali ini dia betul-betul nekad. Hatinya berkata, ' Mungkin dia bukan untuk aku dan mungkin juga dia bukan jodoh aku. Biarlah aku yang pergi membawa hati yang lara ini demi kebahagiaan dia. Aku pinta dia bahagia bersama perempuan yang betul-betul diingininya. Mungkin waktu aku bersama dia terbuang begitu saja tanpa membawa apa-apa erti. ' Perempuan itu membuat keputusan untuk melupakan semua. Semua tentang mereka berdua. Lantas dia menghantar sekeping mesej buat terakhir kalinya untuk lelaki itu, ' Hai lelaki yang pernah menjadi idaman hati aku. Terima kasih kerna pernah buat aku merasa bahagia hidup sama kamu walaupun cuma untuk sepurnama. Aku akan melangkah pergi selamanya dari kehidupan kamu tanpa sekali pun aku berpatah balik. Memang benar aku sakit kerna derita yang kamu berikan sekarang untuk aku. Aku terima semuanya. Mungkin aku bukan orang yang benar untuk miliki hati kamu dan mungkin kamu bukan orang yang benar untuk miliki hati aku. Mungkin aku bertemu dengan orang yang salah dulu baru nanti aku bertemu dengan orang yang benar. Terima kasih kerna telah menghancurkan hubungan kita, terima kasih kerna mengkhianati cinta dan kepercayaan aku. Selama ini aku hanya dipermainkan seperti boneka yang tak pernah punya hati dan perasaan. Biar aku yang merasa sakit, sedih, jatuh tersungkur, derita, tapi jangan pernah dicanang kisah barumu, kerna aku pasti kisah kita kan menghantui tidur malammu dan aku percaya karma itu ada dimana-mana. Suatu hari nanti kamu akan tetap menyesal. Segala kenangan indah yang kita coretkan, akan aku kuburkan. Biarlah yang tinggal hanya batu nisan. ' Lelaki itu cuma berkata, ' Maaf untuk segala hal. Mungkin aku bukan yang terbaik untuk kamu. '
Lalu pergilah sebuah cinta yang tidak kesampaian. Musnahlah sebuah hubungan cinta yang tinggal hanyalah memori. Pergilah perempuan itu sejauh yang mungkin dari kenangan-kenangan lama yang hanya membuat dia rindu dan derita akan semua. Perempuan itu berasa dungu, buntu dan menjadi tidak tentu arah. Payah sebenarnya untuk meninggalkan semua yang pernah menjadi hak miliknya, tapi ini semua kemahuan tuhan. Mungkin selepas ini perempuan itu akan takut akan sesuatu. Takut untuk mendengar sesuatu perkataan yang akan terpancul dari bibir seseorang. Permainan apa pula selepas ini ? Pada dasarnya, perempuan itu tidak berdaya lagi untuk bermain dengan permainan dunia. Tapi dia masih mencuba, dia tahu masih ada sinar harapan buat dia disana. Tak kira sepalat manapun kehidupan dia, dia tahu tuhan selalu bagi peluang untuk menjadi seorang yang lebih bahagia kelak. Dengan sejarah jugalah dia belajar untuk bangkit daripada terus ditindas dan ditipu macam boneka. Apa yang perempuan itu harapkan selama ini mungkin tidak menjadi kenyataan. Mungkin ia bukan satu kisah yang gembira pada akhirnya. Bukan seperti kisah-kisah dongeng yang bahagia. Tapi mungkin satu kisah antara dia dan lelaki itu. Kisah yang terhenti begitu saja tanpa membawa apa-apa erti. Hati perempuan itu berbisik, ' Kalau dulu aku pernah berjanji, yang aku sayang cuma sama kamu, dan sayang itu akan aku bawa sampai bila-bila. Walau kamu bukan milik aku lagi, aku akan tetap bawa sayang itu kemana jua aku melangkah pergi kerna sayang ini begitu sukar untuk aku lepaskan. Cinta itu tidak semestinya harus dimiliki. Mungkin selepas ini payah untuk aku bermain cinta lagi kerna aku takut aku akan jatuh tersungkur lagi. Selamat tinggal cinta sepenggalan. '
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.