07 February 2011

Komplikasi Jiwa


Aku masih berjalan di titian masa yang dipenuhi kaca-kaca. Aku masih berjalan dalam suasana kelam tanpa bantuan mana-mana hamba. Aku masih berdiri di luar kemampuan sendiri masih cuba untuk berlari dan aku masih di sini untuk terus mencari siapa diri aku. Tolong ingatkan aku dengan masa lalu, ketika aku tersungkur dan sekaligus cuba untuk bangkit kembali demi melalui liku-liku hidup ini.

Tidak perlu aku menaburkan sesuatu dengan apa yang aku miliki. Bagi yang mengenali diri aku, pasti ada yang berbunyi seperti hamba lain bahawa aku perempuan ganas yang tidak punya hati dan perasaan. Tapi bila difikirkan, aku lah manusia paling lemah yang mudah terasa pabila disakiti. Hati perempuan ini lah yang selalu rapuh pabila dikecewakan. Hati perempuan ini juga lah yang selalu terbelah pabila disisihkan. Diri aku, aku suka lakarkan melalui perkataan, tulisan, lukisan dan contengan. Kerna aku tidak mudah bisa untuk bicarakan apa yang aku rasa pada seseorang.

Andai aku bisa, aku mahu ungkapkan terima kasih pada orang disekeliling aku yang mampu memberi seribu kegembiraan pada aku. Terutama pada lelaki yang telah masuk ke dalam hidup aku sewaktu aku jatuh tersungkur lantas dia mewarnai hidup aku. Andai diberi kekuatan, akan aku jaga hubungan ini sedaya yang termampu. Akan aku paparkan sejuta keceriaan di wajah ku walaupun di dalam hati beribu duri yang menusuk. Aku rela menangis kesayuan sendirian yang tergenang di dalam hati yang kalut ini tanpa menyusahkan orang disekililing aku. Yang pasti, orang-orang yang aku sayang dan kasihi, dapat menjalani hidup dengan gembira.

Aku tak tahu sampai bila aku harus pendamkannya. Aku tak tahu sampai bila aku harus menyuarakannya. Dan aku tak tahu sampai bila aku harus bersabar. Cuma aku terus berdoa dan terus meminta, agar kehidupan aku sekarang terus berjalan dan meniti tanpa berhenti di separuh jalan kerana aku tidak mahu ada penyesalan berlaku di akhir cerita. Aku bersyukur kerana tuhan kurniakan orang-orang disekeliling aku yang bisa buat aku gelak ketawa. Berharap kepada hanya yang satu iaitu tuhan agar bisa lupuskan semua memori hidup aku sebelum ini agar aku terus bisa meniti kehidupan ini. Mengharap ia terus mati dan takkan pernah kembali dalam kehidupan ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.